Beluran: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas di Sungai Lingkabau, Sugut, selepas hilang dipercayai ketika keluar untuk mendapatkan barang keperluan dapur, sejak semalam.
Kehilangan lelaki berusia 69 tahun terbabit dilaporkan isterinya selepas mangsa tidak pulang ke rumah semalaman sejak keluar dari rumahnya jam 8 pagi, di Kampung Panindakan Paitan, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.59 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 135 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran.
“Mangsa dikenali sebagai Gontawas Ellang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan di lokasi sekitar laluan sungai berkenaan.
“Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka