Kota Kinabalu: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) tidak akan berlagak seperti sebuah parti yang besar dan gagah berikutan penerimaannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mengakui USNO adalah parti yang kecil berbanding empat parti pengasas GRS iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Beliau berkata, USNO juga tidak akan mencetuskan ‘sakit kepala’ berikutan penyertaannya dalam gabungan berkenaan.
“Sebagai ahli keluarga besar, USNO tidak akan jadi pencetus sakit kepala tapi sebaliknya kita mahu membantu mengatasi masalah dihadapi negeri ini.
“USNO sedar saiz badannya kerdil..super super small (SSS). Maka USNO tidak akan pandai-pandai menonjolkan watak XXL seperti PBS, STAR, SAPP atau BERSATU,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran GRS di SICC, di sini, hari ini.
USNO diterima sebagai anggota baharu dalam GRS ketika Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada 9 Mei lalu.
Bagaimanapun, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, berkata sebagai kerabat dalam keluarga besar GRS, USNO akan terus memperjuangkan ‘New Deal’ atau Rundingan Baharu yang diperjuangkan parti itu.
Katanya, New Deal adalah perkara tersirat merujuk kepada pendekatan baharu dengan meninggalkan cara perjuangan lama yang bergantung kepada ‘tongkat’ disediakan ‘tangan ghaib’.
Beliau turut menekankan penyertaannya dalam GRS juga bukan kerana teringin sangat untuk bersama parti pemerintah atau takut menjadi pembangkang.
Pandikar Amin juga mengumpamakan GRS seperti pokok besar yang baik untuk dijadikan tempat bersarang oleh burung kerdil seperti dalam konteks USNO sebagai sebuah parti kecil.
-Deasoka