
Sandakan: Tuntutan untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah wajar ditunaikan seiring peningkatan jumlah pengundi di negeri ini.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, adalah tidak adil apabila ada kawasan Parlimen yang ramai pengundi tetapi menerima peruntukan sama seperti Parlimen yang memiliki kurang pengundi.
Katanya, perkara itu juga menyebabkan pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan di sesebuah kawasan Parlimen di Sabah.
“Kita memang sangat menyokong supaya dibuat penambahan kerusi sebab kalau kita tengok di Sabah jumlah pengundi tidak sama rata.
“Ada kawasan yang hanya 8,000 pengundi dan ada kawasan 50,000 pengundi, 80,000 pengundi dan di Parlimen Lahad Datu, ada 100,000 lebih pengundi.
“Jadi memang tidak cukup satu Ahli Parlimen. Seorang memang tidak dapat menjaga kawasan itu dan kalau ada tambahan, Ahli Parlimen akan kerja dengan lebih bagus,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Vivian turut bersetuju agar peruntukan undang-undang mengenai kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya yang kini hanya boleh dibuat lapan tahun sekali dipinda pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.
Bagaimanapun, katanya perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum diusulkan di Dewan Rakyat agar ia dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen.
-Deasoka