
Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hari ini menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung tempoh perkhidmatannya selama dua tahun lagi.
Tun Juhar menerima surat cara itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada istiadat pengurniaan di Istana Negara, Kuala Lumpur, petang tadi.

Istiadat itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan
Turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tun Juhar, 69, dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah sejak 1 Januari 2011.
Perkhidmatannya disambung selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah pada 2018 bagi memansuhkan had tempoh dua penggal perkhidmatan TYT yang diamalkan sebelum ini.
Selepas pengurniaan surat cara pelantikan di Istana Negara, Tun Juhar seterusnya dijadual menyempurnakan Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan TYT Sabah bagi penggal keempat di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu pada 1 Januari depan.
Sebelum ini, beberapa nama disebut bakal menggantikan Tun Juhar, termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Turut disebut ialah seorang lagi bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Sebelum dilantik sebagai TYT, Tun Juhar pernah berkhidmat sebagai Speaker DUN Sabah, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Kinabatangan.
-Deasoka