
Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi jaminan kerajaan tidak akan ada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau penutupan ekonomi disebabkan penularan Covid-19 selepas ini.
Beliau turut memberi jaminan PKP tidak akan dikuatkuasakan semula di seluruh negara atau di sesebuah negeri bagi menghalang orang ramai menyambut atau pulang merayakan Aidilfitri pada tahun ini.
Katanya, hanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di sesuatu lokaliti jika berlaku penularan jangkitan Covid-19 di kawasan terbabit.
“Tiada PKP untuk pulang beraya pada tahun ini.
“Saya ulangi jaminan, kerajaan tidak akan menutup negara kita sebaliknya jika ada kes di sesuatu lokaliti meningkat, kita laksanakan PKPD,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau, hari ini.
Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat seluruh negara supaya sama-sama membendung penularan Covid-19 dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).
“Saya menyeru Keluarga Malaysia untuk bersama-sama membendung virus COVID-19 dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan,” katanya.
PKP dilaksanakan secara berperingkat sejak Mac 2020 hingga akhir tahun lalu selepas hampir semua negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan kebenaran rentas daerah dan negeri di seluruh negara.
Sepanjang PKP, semua pergerakan rentas negeri adalah dilarang, manakala di Sabah, larangan rentas daerah turut dikuatkuasakan menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas.
-Deasoka