
Kota Kinabalu: Suasana sebak memenuhi ruangan Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila menyaksikan keluarga mewakili allahyarham Ahmad Faizal Tahir, graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), menerima ijazah secara anumerta.
Ibu allahyarham, Norah Usaini menerima ijazah anumerta yang disampaikan oleh Tun Juhar Mahiruddin pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24, baru-baru ini.
Menurut Norah, Faizal, 28, merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada 31 Julai lalu, akibat penyakit demam panas.
Menceritakan keadaan anaknya sebelum meninggal dunia, katanya, Faizal berada di rumah sewa ketika dia demam dan telah memberikan tanda-tanda sebelum pemergiannya dengan memberikan satu pesanan ditujukan kepada adik tunggalnya, Ahmad Fadil.
“Ärwah anak saya berpesan supaya menasihatkan adiknya untuk belajar berdikari dan memberikan keutamaan kepada keluarga dahulu sebelum orang lain.
“Arwah seorang anak yang penyayang, suka bergurau dengan adiknya, seorang yang senang diurus dan tidak suka menyusahkan keluarganya.
“Sebagai seorang ibu yang mengandungkannya selama sembilan bulan, saya berasa sebak sehingga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila mendapat tahu dia sudah tiada,” katanya.
Beliau yang berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen itu tidak dapat menahan sebak apabila menceritakan mengenai arwah anaknya.
Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, abangnya bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang doktor tetapi datuk mereka berharap agar beliau menceburi bidang pendidikan dan berjaya masuk ke universiti.
“Äyat terakhir abang yang saya ingat sehingga hari ini adalah beliau ingin balik ke pangkuan keluarga kerana sudah lama tidak berjumpa dengan keluarga kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi tidak kesampaian,” katanya.
Untuk rekod, ijazah secara anumerta merupakan penganugerahan ijazah selepas kematian pelajar semasa berada dalam pengajian.
Penganugerahan ijazah ini dibuat atas sokongan dan kelulusan universiti berdasarkan bidang pengajian yang diikuti oleh pelajar.
-Deasoka