SOGDC, ESTEEL jalin kerjasama projek pembuatan besi bernilai RM20 bilion

SOGDC, ESTEEL jalin kerjasama projek pembuatan besi bernilai RM20 bilion

Kota Kinabalu: Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) menjalin kerjasama dengan Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (ESTEEL) dalam projek pembuatan besi yang membabitkan nilai pelaburan hampir RM20 bilion.

Pengerusi SOGDC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, projek itu dijangka menjana ‘spin-off’ ekonomi yang besar kepada masyarakat setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan.

Abdul Rahman pada sidang media selepas Majlis Menandatangani LLA Bagi Projek Green Steel di SOGIP, Sipitang.

“Untuk peluang pekerjaan fasa pertama, semasa pembinaan projek ini nanti akan melibatkan pekerja sampai 10,000 hingga 15,000 orang, manakala apabila beroperasi nanti, sekurang-kurangnya 1,752 peluang pekerjaan akan diwujudkan.

“Kemudian, fasa kedua dan ketiga, sewaktu pembinaan itu juga akan melibatkan hampir 30,000 pekerja dan setelah siap nanti, pengoperasiannya itu melibatkan peluang pekerjaan sebanyak 5,455 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) Bagi Projek Green Steel di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

LLA itu ditandatangani Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Datuk Harun Ismail; Pengarah Urusan ESTEEL Sabah, Xu Yihang, dan Pengarah ESTEEL Sabah, Eng Shao Wei.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kerjasama berkenaan menyasarkan pembangunan keseluruhan rantaian keluli hijau dan teknologi hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon global.

“Syarikat tersebut akan melabur sebanyak USD4.39 bilion atau hampir RM20 bilion dan saya rasa ini merupakan antara pelaburan yang terbesar pernah disaksikan di negeri ini.

“Mereka menyasarkan untuk membangunkan keseluruhan rantaian keluli hijau dan teknologi hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon global di antara tujuh hingga lapan peratus daripada jumlah pelepasan,” katanya lagi.

Tambah beliau, SOGIP bakal menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan perindustrian di Sabah dan akan menjadi destinasi pilihan pertama bagi pelabur-pelabur di rantau Asia dan juga di rantau Asia Tenggara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|