
Lahad Datu: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sawit Kinabalu menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 bagi tujuan membaikpulih bangunan Surau Balai Polis Tungku, di sini, hari ini.
Majlis penyerahan yang disempurnakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu disampaikan wakil syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu, Syamsul Bakri kepada Penolong Ketua Polis Balai Tungku, Sarjan Mejar Amsain Mohd Lain.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad yang turut hadir menyaksikan majlis itu berkata, pihaknya amat bersyukur atas usaha Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Kumpulan Sawit Kinabalu kepada pasukan polis.
Katanya, inisiatif itu adalah bukti komitmen syarikat berkenaan dalam memperkasakan pembangunan masyarakat setempat menerusi program CSR.
“Inisiatif kebajikan ini juga dapat menyihatkan kerohanian dan kebertanggungjawaban kepada masyarakat.
“Pasukan polis amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sementara itu, Syamsul berkata, sumbangan itu adalah Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) syarikat kepada pasukan PDRM terutamanya di daerah Lahad Datu.
Katanya, ia sebagai salah satu penghargaan kepada PDRM yang memainkan peranan dan tanggungjawabnya dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan semua.
“Pasukan polis memainkan peranan penting terutamanya dalam memastikan sektor peladangan kelapa sawit boleh beroperasi dengan selamat di sini.
“Semoga dengan bantuan sumbangan ini akan memberi manfaat dan keselesaan kepada warga polis di Balai Polis Tungku, di sini,” katanya.
Menurutnya, selain untuk keperluan menunaikan ibadah ia juga bagi kemudahan melaksanakan program keagamaan dalam mengimarah ukuwah Islamiah dengan masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
Majlis penyerahan berkenaan berlangsung ringkas dan sederhana serta mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang ditetapkan.
-Deasoka