
Beaufort: Sambutan Tahun Baharu Cina dilihat mampu merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat setempat meskipun berbeza budaya, agama dan kepercayaan masing-masing khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, perayaan Tahun Baharu Cina kali ini akhirnya dapat disambut bersama dengan pelbagai etnik di kawasannya sendiri.

“Selepas dua tahun kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini kita bersyukur kerana dapat merayakan Tahun Baharu Cina.
“Perayaan ini sudah tentu akan mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat setempat di DUN Lumadan,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, semalam.

Majlis sambutan Tahun Baharu Cina DUN Lumadan itu diadakan di kediaman Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Beaufort Selatan, Lee Chin Loong.
Hadir sama, Ketua Daerah Beaufort Orang Kaya-Kaya (OKK) Hj Tajudin Hj Asari; Ketua Anak Negeri (KAN), Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Ruslan dalam pada itu berharap Tahun Harimau berdasarkan kalander Cina memberi kekuatan kepada semua pihak dalam menghadapi cabaran ekonomi ketika ini.
“Tahun ini adalah Tahun Harimau dan ia membawa makna kekuatan dan sudah tentu kita mengharapkan serta yakin bahawa ekonomi dan perpaduan kaum sesama kita akan kuat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Masyarakat Cina (KMC) DUN Lumadan atas persiapan yang dibuat untuk sambutan perayaan itu selain turut menyampaikan ‘angpau’ kepada kanak-kanak dan warga emas pada majlis itu.
DUN Lumadan mempunyai lima Ketua Masyarakat Cina iaitu Koh Hai Ngan, Chiam Thau Liam, Pung Tet Kong, Dominic Olok dan Lee Chin Ching.
-Deasoka