
Kota Kinabalu: Kadar pemberian vaksin penggalak dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sabah masih rendah menyebabkan negeri ini ketinggalan dari segi jumlah individu yang sudah menerima vaksin.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata bagi dos penggalak, setakat ini hanya 18 peratus daripada individu yang sudah lengkap vaksin di Sabah mengambil suntikan ketiga.

“Prestasi rendah ini disebabkan ia bukan keperluan dalam aplikasi MySejahtera, tidak seperti dos pertama dan kedua sebelum ini. Dos penggalak hanya sebagai pilihan, jadi sebab itu maklum balas masih lembab.
“Bagimanapun, beberapa hari ini kes Covid-19 naik mendadak. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kata kita mengalami gelombang Omicron, jangkitannya begitu cepat dan ia dibuktikan dengan kenaikan kes mendadak kebelakangan ini,” katanya ketika meninjau pelaksanaan PICKids di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini, hari ini.
Katanya, walaupun dos penggalak hanya sebagai pilihan tetapi orang ramai perlu memahami bahawa sistem pertahanan badan terhadap jangkitan Covid-19 berkurangan selepas beberapa tempoh menerima dua dos lengkap.
Jelasnya, dos penggalak diperlukan bagi meningkatkan semula sistem pertahanan badan bagi melindungi diri daripada kesan jangkitan teruk berikutan penularan gelombang varian Omicron, ketika ini.
Shahelmey yang juga EXCO Kesihatan negeri, berkata begitu juga dengan sambutan terhadap PICKids di Sabah yang ketika ini menyaksikan purata 50 hingga 60 kanak-kanak mengambil vaksin sehari sejak dilancarkan pada 3 Februari lalu.
Katanya, kebanyakannya datang secara ‘walk-in’ di hospital atau klinik yang melaksanakan program itu di seluruh negeri, termasuk di HWKKS, di Likas, dekat sini yang menjadi antara lima hospital pakar di Sabah melaksanakan PICKids.
“Kadar penerimaan vaksin PICKids juga masih rendah, jadi perlu ada kesedaran ibu bapa supaya datang membawa anak untuk menerima vaksin, sama ada secara ‘walk-in’ atau melalui tempahan dalam aplikasi MySejahtera, mana yang mudah bagi ibu bapa.
“Namun, kita percaya kadar ini akan terus bertambah dari hari ke hari apabila ibu bapa semakin sedar. Sama-sama kita meningkatkan kesedaran, begitu juga untuk pengambilan dos penggalak, malah ibu bapa yang belum menerima dos penggalak ketika membawa anak menerima vaksin juga akan terus diberikan suntikan,” katanya.
Sementara itu, Shahelmey berkata jangkitan Covid-19 di Sabah dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat berikutan kadar kebolehjangkitan atau Rt bagi negeri Sabah ketika ini yang tinggi, iaitu 1.54 berbanding 1.32 bagi Rt kebangsaan.
“Awal Januari lalu kes Covid-19 di Sabah sudah turun hingga ke paraa 100 lebih saja sehari tetapi naik semula secara mendadak pada awal bulan ini kepada lebih 400 sebelum naik lagi sekali ganda kepada lebih 900, seterusnya mencapai lebih 1,000 kes dan semalam naik lagi kepada lebih 2,000 kes,” katanya.
-Deasoka