
Kota Kinabalu: Seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 40–an terbabit ditahan selepas dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi melantik syarikat milik anak saudaranya dalam tender kantin di sebuah sekolah.
Menurut sumber, suspek ditahan di pejabat SPRM Sabah cawangan Sandakan kira-kira jam 11 pagi, hari ini, ketika diarahkan hadir memberi keterangan.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tender kantin sekolah bernilai kira-kira RM50,000.
“Tender bagi tempoh 3 tahun dipercayai diberikan kepada syarikat milik anak saudaranya sekitar Disember 2015 sehingga November 2018,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam tempoh terdekat.
-Deasoka