
Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) merancang untuk menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Antara Kelab tahun ini selepas Piala Sabah 2022 merebut piala sumbangan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata penganjuran kejohanan baharu sudah dalam perancangan badan induk bola sepak Sabah itu.
Katanya, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA sedang dalam proses untuk menyusun penganjurannya yang dijangka pada Julai depan.
“Bagi saya, kejohanan ini sangat baik untuk memberi peluang kepada pasukan yang bertaraf kelab dari seluruh negeri,” katanya selepas diberi taklimat berhubung penganjuran Piala Sabah 2022 yang sedang berjalan sekarang.
Bagaimanapun, katanya perancangan bagi menganjurkan kejohanan itu akan diperincikan dan dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi SAFA sebelum dimuktamadkan.
Taklimat ringkas itu disampaikan pengerusi jawatankuasa, Azman Mastar yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Bung Moktar di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Hadir sama timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan, Lokman Sunggim, Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah dan Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata selain kejohanan antara kelab, SAFA juga akan menganjurkan Kejohanan Piala SAFA.
Katanya, memang menjadi hasrat dan perancangan SAFA untuk memperbanyakkan kejohanan bola sepak yang membabitkan seluruh daerah sebagai langkah memajukan sukan bola sepak di negeri ini.
“Ia juga selari dengan usaha kita untuk menstruktur semula badan bola sepak negeri agar dapat bergerak aktif dan membuat perancangan strategik memacu kemajuan bola sepak yang sangat diharapkan peminat sukan ini,” katanya.
Mengenai penganjuran Piala Sabah 2022 yang sedang berjalan ketika ini, Presiden SAFA itu mengucapkan syabas kepada jawatankuasa itu kerana usaha untuk mengendalikan kejohanan berkenaan.
Sementara itu, Azman berkata, jawatankuasa yang diketuainya itu akan terus melaksanakan penganjuran sukan itu selaras dengan hala tuju Presiden SAFA untuk melakukan transformasi terhadap program dan aktiviti bola sepak di Sabah.
Perlawanan hari pertama grand final Piala Sabah kelmarin menyaksikan pasukan Tuaran menang tipis kepada pasukan Putatan 1-0 dan Pitas seri 1-1 dengan Membakut dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B, Keningau menewaskan Libaran 3-0 dan Tawau mengalahkan Telupid 3-1.
-Deasoka