
Kota Kinabalu: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan amalan politik yang keterlaluan, tanpa penghujung dan tidak perlu sebagai punca kemiskinan yang berlaku di Sabah.
Pengerusi Kelab Belia Siber Kota Kinabalu, Salmie Sarinoh, berkata dalam hal itu pihaknya senada dengan gesaan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun yang sebelum ini menegaskan pentingnya amalan politik tidak perlu dan tanpa kesudahan dihentikan demi kebaikan rakyat negeri ini.
Beliau berkata, Sabah mempunyai potensi yang baik untuk berkembang namun rakyat dan pemimpin politik perlu bersedia untuk berubah.
“Antara perubahan itu ialah dengan menganggap amalan politik tidak berkesudahan dan tidak perlu sebagai satu penyakit. Kedua-duanya menyebabkan kita berpecah, memusnahkan kita dan menjadikan kita miskin.
“Kita boleh menjadi miskin secara zahir, kita boleh menjadi miskin kerana kita tidak diberikan hak kita dan sudah tentu kita boleh menjadi miskin kerana kita berpecah disebabkan amalan politik tidak perlu dan tiada kesudahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Masidi meminta semua pihak untuk memberi ruang yang secukupnya kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan persekutuan untuk mentadbir serta membantu rakyat.
Katanya, amalan politik tidak perlu dan tanpa kesudahan menyebabkan ketidakstabilan politik yang menyaksikan perubahan kerajaan hampir setiap beberapa tahun.
Sementara itu, Salmie berkata untuk golongan belia, kerajaan mesti menumpukan kepada program bagi mengatasi isu dihadapi golongan itu seperti pengangguran, kurang peluang pekerjaan, kemahiran tidak sepadan, selain kadar jenayah dan aktiviti tidak bermoral membabitkan belia yang tinggi.
Katanya, kerajaan tidak dapat membantu belia secara berkesan dengan adanya amalan politik tidak perlu dan tanpa kesudahan yang berlaku sekarang.
“Adakah kita tidak mengambil berat bahawa ramai belia kita pergi ke negeri dan negara lain untuk mencari pekerjaan hanya kerana mahu memberi makanan kepada keluarga mereka hingga ada yang menjadi mangsa ‘scammer’?,” katanya.
Salmie berkata, apa yang menyedihkan ialah apabila melihat amalan politik terus menyakiti Sabah, rakyat Sabah dan ekonomi negeri.
“Masih ada pemimpin politik yang cuba mereka isu dan ketidakharmonian politik di Sabah. Mereka tidak peduli mengenai perpaduan, sebaliknya mereka hanya peduli untuk menjadi kerajaan kerana mereka fikir ia adalah hak mereka.
“Namun, saya bercakap bagi pihak ramai rakyat Sabah khususnya belia yang menolak semua politik tidak perlu dan tanpa kesudahan ini, sekarang adalah masa untuk bergerak ke hadapan.
“Jika mereka mahu menjadi kerajaan, kenapa tidak tunggu pilihan raya akan datang? Pada masa itu, mereka boleh berkempen sepenuh hati dan lihat sama ada pengundi masih menyukai mereka atau tidak.
“Seperti apa yang Masidi katakan, berikan kerajaan GRS masa yang cukup, masa untuk berpolitik sudah habis dan sekarang adalah masa untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada Sabah.
“Bagi melakukan ini, kerajaan perlu kerjasama semua pihak, bukan satu lagi cubaan untuk memecah belah rakyat supaya mereka boleh memerintah.
“Sabah kaya dengan sumber asli dan dianugerahkan dengan landskap yang cantik. Kita mempunyai semua peluang dan potensi untuk menjadi negeri maju jika kita ada perpaduan, persefahaman dan kekitaan khususnya pemimpin dan ahli politik. Jangan bazirkan lagi semua ini,” katanya.
-Deasoka