
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengalu-alukan minat yang ditunjukkan kerajaan Turki untuk mewujudkan hubungan perdagangan terus dengan negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan kemasukan pelaburan dari negara berkenaan.

“Kita mengalu-alukan idea berkenaan dan kerajaan Sabah akan melakukan yang terbaik untuk memudahkan pelaburan dari Turki,” katanya ketika pertemuan dengan Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kavakci berkata pihaknya melihat Sabah bukan setakat sebuah negeri di Malaysia, malah pintu masuk ke wilayah ASEAN.
Katanya, sekumpulan ahli perniagaan dari Turki akan datang ke Kuala Lumpur pada Mac depan dengan sebahagiannya akan ke Sabah untuk melihat usahasama pelaburan.
Beliau berkata, selain inisiatif perdagangan dan pendidikan, pihaknya turut mensasarkan untuk mempromosikan tarikan pelancongan Sabah di Turki dan negara berjiran dengannya.
Rombongan Kavakci pada pertemuan itu turut disertai Kauselor Perdagangannya, Elif Haliloglu Gungunes; Kaunselor Pelancongan dan Hal Ehwal Maklumat, Begum Sahin; Kaunselor Akhbar, Zeynep Havva Rafique dan Pengarah Institut Kebudayaan Turki Yunus Emre, Dr Omer Altun.
Di pihak kerajaan negeri pula, turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Sabah, Datuk Madiyem Layapan dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Jamine
Teo.
-Deasoka