
Kota Kinabalu: Sabah sudah membelanjakan RM1.479 bilion atau 28.15 peratus daripada RM5.254 bilion peruntukan bagi 1,098 projek yang diluluskan dalam Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sehingga 12 Jun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu tidak jauh beza berbanding prestasi nasional yang kini mencapai 36.8 peratus.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan negeri dapat mengatasi prestasi nasional dengan melipatgandakan lagi pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“Oleh itu, saya mahu semua kementerian dan agensi memberi perhatian dan tindakan susulan dalam memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual agar kita dapat mengatasi prestasi nasional.
“Mana-mana peraturan yang tidak berkesan, cari kaedah baharu agar pelaksanaan dapat dibuat secepatnya. Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dan ini digunakan sebagai satu platform untuk berkongsi maklumat bagi membincang dan seterusnya mendapatkan jalan penyelesaian kepada isu pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Kali Kedua, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunalam dan barisan menteri Kabinet negeri.
Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rusmadi Datu Sulai; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU JPM, Datuk Ruji Ubi; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Samsul Dollah.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata perlu ada satu penyelarasan di antara semua jabatan dan agensi persekutuan serta negeri yang terbabit dalam pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Sabah.
“Perkara (penyelarasan) ini penting agar kita tahu di kawasan mana dan agensi mana yang terbabit dalam pembinaan projek PPRT di negeri ini.
“Ia penting kerana keperluan untuk rumah PPRT di Sabah amat banyak. Justeru, saya meminta kepada pihak yang berkaitan agar sampaikan hasrat kerajaan negeri mengenai keperluan rumah PPRT di negeri ini.
“Saya dimaklumkan sebanyak 710 rumah PPRT akan dibina pada tahun ini di Sabah. Sebenarnya, jumlah ini tidak cukup kerana kita telah meminta sebanyak 2,000 unit tetapi hanya 710 yang diluluskan.
“Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus menuntut untuk mendapatkan lebih banyak lagi PPRT dibina di Sabah,” katanya.
Mengenai sebanyak 69 projek sakit di Sabah, Hajiji mahu agensi atau jabatan yang terbabit memberi perhatian serius terhadap perkara itu.
Katanya, jika ia disebabkan jabatan atau agensi kerajaan negeri, beliau meminta mereka tidak melambat-lambatkan projek daripada kerajaan Persekutuan selain memberi kerjasama yang sepatutnya kerana setiap projek seperti pembinaan sekolah atau hospital adalah untuk rakyat.
“Jika pembayaran lambat, kita akan usahakan dan jika kontraktor yang bermasalah, tindakan perlu diambil. Saya juga minta kuasa diturunkan kepada pegawai persekutuan di Sabah, jika ia membabitkan projek daripada Persekutuan.
“Ini bagi mempercepatkan keputusan dibuat dan projek dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau juga dimaklumkan bahawa Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) sudah mengambil langkah proaktif menganjurkan Makmal Sifar Projek Sakit pada 7 hingga 9 Jun yang lalu untuk mengenal pasti penambahbaikan dan inovasi bagi memudahkan pelaksanaan projek.
Selain itu, katanya platform itu juga digunakan untuk menentukan penyelesaian terhadap masalah atau isu pelaksanaan projek pembangunan.
“Semasa makmal ini berlangsung, Jabatan Audit Negara membentangkan analisis penemuan keberkesanan pelaksanaan projek kerajaan dan salah satu projek yang berada dalam analisis penemuan audit adalah Projek Penaiktarafan Keretapi Negeri Sabah.
“Ini kerana kawasan pembinaan (landasan keretapi Halogilat ke Tenom) mempunyai isu topografi serta kejadian tanah runtuh, hakisan tebing sungai dan banjir.
“Isu-isu ini tidak diambil kira semasa meluluskan peruntukan projek dan ini menunjukkan kelemahan perancangan projek,” katanya.
Hajiji berkata projek yang sepatutnya telah siap pada 2019 itu hanya siap 99.5 peratus sehingga September 2021 setelah mengambil kira lima EOT atau lanjutan tempoh masa selama 748 hari.
Mengenai pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Serudong, Kalabakan, beliau sekali lagi meminta ia perlu diberi keutamaan.
“Saya ingin menegaskan dalam mesyuarat ini agar perkara ini perlu diberi keutamaan,” katanya.
Beliau juga berharap sinergi di antara jentera kerajaan negeri dan persekutuan dapat diperkasakan dan bergerak pantas secara seiring pada landasan yang tepat menuju destinasi yang sama.
Jelasnya, melalui kebersamaan itu, semua pihak mempunyai rasa kepunyaan kepada Hala Tuju SMJ dan rasa keperluan bertindak segera bagi melaksanakan setiap inisiatif SMJ, serta rasa kebanggaan pencapaian apabila menjadi sebahagian daripada usaha menjayakan sesuatu inisiatif dalam Pelan Pembangunan SMJ.
-Deasoka