MPOB buka kaunter bergerak di Sabah

MPOB buka kaunter bergerak di Sabah

Sandakan: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Sabah akan membuka kaunter bergerak bagi perkhidmatan pembaharuan lesen MPOB.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, langkah itu bagi memudahkan pekebun kecil memperbaharui lesen masing-masing selain mendapatkan maklumat mengenai masalah yang dihadapi golongan berkenaan.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng

Katanya, inisiatif turun padang itu akan dilaksana dalam masa terdekat.

“Program ini dianjurkan oleh kementerian khasnya untuk jelajah ke mana-mana. Saya tahu selama ini pegawai akan membekalkan maklumat permasalahan dan kami juga harus turun padang supaya dapat mengenal rintihan mereka.

Wee Jeck Seng menyempurnakan Perasmian Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Sungai Sibuga Berhad di Sandakan.

“Contoh hari ini kita dapat orang kampung mengatakan mereka ada kesusahan untuk memperbaharui lesen MPOB. Maka keputusan dibuat ialah MPOB wilayah Sabah kena berterusan turun padang atau adakan kaunter bergerak untuk memudahkan orang kampung memperbaharui lesen.

“Inilah kaedah diguna yang saya nampak kita dapat bantu kepada pekebun kecil,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Sungai Sibuga Berhad, di Batu 12, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai sistem Elektronik Kumpulan Buah Segar (EFFB) secara dalam talian, beliau berkata, ia dijangka akan dilancarkan tahun ini selepas melihat keberkesanan projek rintis yang sedang dilaksanakan di Tanjung Piai, Johor.

Katanya, sistem berkenaan akan merekodkan urus niaga lebih telus sekali gus mengatasi masalah kecurian dan penipuan timbangan buah kelapa sawit ketika urusan pembelian serta memastikan pekebun kecil memperoleh pendapatan sepatutnya.

Terdahulu, dalam majlis itu, beliau menyampaikan replika cek geran pembinaan pusat timbang koperasi penanam sawit mampan (KPSM) berjumlah RM200,000 kepada KPSM Sungai Sibuga Sandakan Berhad.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|