
Pontian (Johor): Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi medan pertama bagi Parti Warisan (WARISAN) di Semenanjung sejak parti itu dilancarkan di peringkat nasional tahun lalu.
Memetik laporan Sinar Harian semalam, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau tidak menyangka masyarakat di negeri itu terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi WARISAN menerima kehadiran calonnya dengan cukup baik.
“Saya yakin WARISAN mampu memberi impak dan diterima masyarakat di Johor seterusnya membawa perubahan dalam landskap politik negeri dan negara,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, kesempatan berada di Johor pada masa ini akan digunakan untuk membantu kempen calon parti itu yang bertanding di DUN Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.
“Kita teliti secara mendalam untuk bertanding di Johor, bukan buat keputusan secara tangkap muat sahaja.
“WARISAN menawarkan diri walaupun hanya ada enam calon sebagai calon alternatif.
“Calon kita ada pengalaman politik, peguam, aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) selain aktif dalam kerja kemasyarakatan,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.
WARISAN secara rasmi bertapak di Semenanjung sejak pelancarannya sebagai parti nasional pada 17 Disember tahun lalu.
-Deasoka