
Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 360 karton rokok yang dipercayai diseludup masuk dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Kapor, di sini, semalam.
Serbuan terhadap rumah tidak bernombor di kawasan pinggir bakau itu dijalankan selepas menerima maklumat daripada Unit Risik Marin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 360 karton rokok jenama Astro Hijau di dalam ruangan bilik rumah berkenaan.
Katanya, pasukan operasi terus melakukan rampasan dan membawa balik ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Nilai rampasan rokok seludup kali ini dianggarkan sebanyak RM48,960 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Mohamad berkata, operasi pemantauan kegiatan penyeludupan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.
-Deasoka