
Kota Kinabalu: Polis Sabah diarah untuk meningkatkan pemantauan dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden di negara jiran, Filipina, Mei depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia berikutan isu tuntutan ke atas Sabah sering menjadi topik hangat digunakan calon Pilihan Raya Presiden negara itu untuk menarik sokongan pengundi.

“Polis, khususnya Cawangan Khas perlu memantau isu hangat sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden Filipina yang akan diadakan pada 9 Mei depan,” katanya dalam kenyataan selepas lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, hari ini.
Ketika lawatan berkenaan, Hajiji turut diberi taklimat mengenai situasi keselamatan di Sabah oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu; Setiausaha Penyelidikan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Sahiman Sahari dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Sementara itu, Hajiji turut meminta pihak polis untuk terus memantau kegiatan penyeludupan dadah yang dikatakan menggunakan Sabah sebagai destinasi transit.
Katanya, kegiatan itu perlu dipantau dan dibanteras kerana kebanjiran bahan larangan berkenaan akan menimbulkan isu sosial yang besar di negeri ini.
Beliau turut mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melihat permohonan tanah bagi membina pangkalan baharu Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu dan pangkalan operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) Nabawan.
“Permohonan ini mesti diberikan keutamaan kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan kedaulatan negeri,” katanya.
Selain itu, Hajiji bersetuju kuasa meluluskan lesen senjata api di negeri ini diberikan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah seperti dilakukan di Sarawak.
Katanya, beliau akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau berpuas hati dengan keselamatan keseluruhan negeri ini di bawah pemantauan polis dan semua pasukan keselamatan.
“Berdasarkan taklimat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dan pegawai-pegawainya, saya gembira mendengar kita berada dalam jagaan yang baik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Turut dibincangkan pada lawatan kerja itu ialah pengembalian semula larangan terhadap penggunaan bot pam di Sabah yang diluluskan Jawatankuasa Keselamatan negeri pada tahun lalu.
Hajiji meminta polis untuk menyediakan kertas kerja berhubung perkara itu untuk diserahkan pada mesyuarat keselamatan negeri pada tahun ini, khususnya mengenai alternatif penggunaan bot apabila larangan itu dilaksanakan.
-Deasoka