Penyertaan parti lain dalam GRS diputuskan dalam mesyuarat akan datang

Penyertaan parti lain dalam GRS diputuskan dalam mesyuarat akan datang

Kota Kinabalu: Keputusan permohonan penyertaan parti politik lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulangi perkara itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, tiada sebarang perbincangan dilakukan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang diadakan pada Ahad lalu.

Hajiji ketika menyampaikan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) kepada pelajar di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu.

“Dalam mesyuarat yang lalu, kita tidak membincangkan itu, tetapi kita akan bincangkan permohonan itu dalam mesyuarat akan datang.

“Kemungkinan mesyuarat akan datang kita adakan pada bulan Oktober, jadi di sana baru kita putuskan,” katanya ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan GRS berkaitan permohonan beberapa parti lain untuk menyertai gabungan itu.

Hajiji bagaimanapun berkata, GRS sentiasa terbuka kepada parti-parti yang menerima perjuangan gabungan itu terutama parti tempatan.

“Kita mahu cuba satupadukan mereka dalam satu gabungan iaitu GRS.

“Jadi beri ruang kepada kami untuk memikirkan perkara itu dan kita akan buat yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Pada mesyuarat Ahad lalu, Hajiji memaklumkan GRS akan mengadakan siri jelajah di setiap Parlimen bermula Ogos ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|