
Labuan: Lima penyelidik dari Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) membangunkan aplikasi sistem tempahan makanan di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan.
Mereka ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr Anath Rau Krishnan bersama Pensyarah Kanan, Dr Suzillah Sidek dan Dr Sharinah Puasa serta dua lagi pensyarah FKAL iaitu Muhammad Hafizi dan Zakiah Hassan.

Mereka dibantu lima guru dari SMK Labuan iaitu Penolong Kanan Tingkatan Enam, Saminan Sabtu, Nurul Nazihah Sia Abdullah, Mohd Zulkifli Ismail, Azlan Tumingan dan Muhammad Ghazali Samudin.
Dr Anath berkata, sistem tersebut sudah siap dibina dan percubaan dalam kalangan ahli juga sudah dilaksanakan.
Katanya, ujian rintis sistem tersebut dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan bulan Julai ini yang melibatkan pihak sekolah, pengusaha kantin dan pelajar SMK Labuan.
Jelasnya, sistem yang dibina adalah berupa aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit untuk memudahkan penggunaan.
Dr Anath percaya bahawa aplikasi itu akan memberi banyak faedah kepada ramai pihak terutama sekali pelajar.
“Ini juga akan mempromosikan ‘cashless’ di peringkat sekolah,” katanya yang juga ketua projek tersebut.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan sistem aplikasi tempahan makanan kantin pada mesyuarat bersama pentadbir SMK Labuan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Permata, SMK Labuan pada 30 Jun lalu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim. Turut hadir ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Labuan, Jamaliah Razal.
Tambah Dr Anath, mesyuarat tersebut membincangkan laporan kemajuan projek pembangunan sistem aplikasi tempahan makanan kantin.
Sementara itu, Mohd Nizam menyambut baik kerjasama itu dan akan memberikan sokongan sepenuhnya bagi pelaksanaan sistem tersebut.
Dr Sharinah dijangka akan memberikan latihan hands-on kepada pihak sekolah, pengusaha kantin dan pelajar dalam masa terdekat.
-Deasoka