
Ranau: Seorang pendaki yang mengalami kecederaan terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dalam kejadian di kilometer 7.1, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang dipercayai terjatuh ketika menuruni gunung dari puncak dilaporkan sukar bergerak dan perlu dibantu untuk turun dan mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.13 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan Malim Gunung dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB MOSAR bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.
“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan stretcher robinson oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.28 petang.
-Deasoka