
Kota Kinabalu: Keputusan Kerajaan Persekutuan memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di negeri ini kepada Kerajaan Sabah disifatkan sebagai tindakan yang bermanfaat, khususnya kepada kemajuan dan ekonomi negeri ini.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Lahirul Latigu berkata, ia juga satu langkah yang baik dalam merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di pihak kita, khususnya AMANAH Sabah, sangat mengalu-alukan keputusan itu yang mana ini juga menjadi aspirasi Kerajaan Sabah yang memperjuangkan isu ini dan sudah tentu ini juga memberi kebaikan kepada rakyat negeri ini.
“Saya juga bersetuju bahawa Sabah sewajarnya berhak untuk mengawal dan mengurus sumber minyak dan gas di negeri ni secara sendiri tanpa diganggu oleh pihak luar,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Kelmarin, jemaah menteri bersetuju untuk memindahkah kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada Kerajaan Negeri.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dilaporkan berkata tarikh pelaksanaan bagi pemindahan kawal selia itu akan dibuat selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Sejurus mendapat perkenan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan mengadakan persidangan khas untuk melulus dan mewartakan usul negeri Sabah berkaitan pembekalan gas.
-Deasoka