
Kota Kinabalu: Pemeteraian kontrak perolehan utama dan perjanjian utama bagi projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) yang bernilai hampir RM1 billion mampu menjana inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP) yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini.
Pemeteraian itu melibatkan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) selaku pemaju projek dengan WCT Holdings Bhd – China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC) Joint Venture (WCJV).
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, projek itu sejajar dengan usaha dalam menambah baik dan memajukan infrastruktur sesuai dengan hasrat menjadikan Pelabuhan Sepanggar sebagai hab transhipment serantau.
“Ini seterusnya akan menyerlahkan potensi Sabah sebagai pintu masuk perdagangan (trade gateway) khususnya di Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).
“Dalam masa sama, kita lihat ia meningkatkan penglibatan syarikat-syarikat tempatan terhadap skop kerja subkontrak yang bernilai RM253.89 juta.
“Kita juga akan melihat pembangunan keupayaan berkaitan Building Information Modeling (BIM) yang merangkumi perisian dan latihan kompentensi dalam memacu transformasi sektor pembinaan dan sivil melibatkan pihak universiti seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak utama dan perjanjian utama ICP bagi projek SBCP, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, inisiatif itu melibatkan empat kursus latihan berkaitan dalam pembangunan kompentensi teknikal yang merangkumi elektrikal, pentauliahan jurutera profesional, pengurusan operasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengurusan alam sekitar.
“Semua ini melibatkan personal dari agensi-agensi dan operator dari Sabah itu sendiri,” katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sentiasa mementingkan manfaat untuk negara atau negeri terutama bagi projek besar seperti yang dilaksanakan di Sabah.
“Ini kerana ia bukan saja dalam peringkat pemulihan dari atas saja tetapi kita kena pulihkan semua di bawah, industri dan pemain industri tempatan supaya mereka mendapat manfaat daripada projek besar seperti ini,” katanya.
-Deasoka