
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan keputusan kerajaan Pusat membuka semula sempadan negara serentak dengan fasa peralihan endemik Covid-19 bermula 1 April depan sebagai langkah positif bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi secara menyeluruh.
Beliau berkata, pembukaan semula sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat mampu memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor pelancongan.
“Kerajaan perlu mencontohi strategi dan pendekatan yang diambil negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa bagi merancakkan kembali sektor ekonomi.
“Bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.
“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuatkuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian baharu virus COVID-19 seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikain sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai pelaksanaan fasa peralihan ke endemik dan pembukaan sempadan negara.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, beliau sebelum ini turut membangkitkan isu pembukaan semula sempadan negara pada sesi perbahasan menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Beliau meminta kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan untuk mengkaji perkara itu demi kebaikan negara terutama dalam usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat yang sekian lama terjejas disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Katanya, Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.
“Langkah ini penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.
“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor ekonomi, terutama industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara,” katanya
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dalam menjalani kehidupan harian bagi sama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.
-Deasoka