
Lahad Datu: Kesiapsiagaan pasukan keselamatan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan diperkukuhkan susulan pembukaan sempadan negara bermula 1 April depan.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, persediaan berkenaan diperlukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan di masa akan datang.
“Sedia maklum bahawa kawasan pantai timur Sabah sering menjadi tumpuan pelancong, terutamanya Semporna, Sandakan dan daerah yang lain.
“ESSCOM bersiap sedia bagi mengambil sebarang langkah jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya, dalam satu sidang media di Ibu Pejabat ESSCOM, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan tindakan ESSCOM susulan krisis Malaysia dan Filipina berhubung tuntutan ke atas Sabah, Hamzah berkata, ESSCOM akan meneruskan tugas seperti biasa.
Katanya, perkara berhubung tuntutan ini masih dalam siasatan ESSCOM dan pihak-pihak berkaitan.
“Setakat ini, kawasan Pantai Timur Sabah masih berada dalam keadaan yang baik dan terkawal.
“Penugasan aset diteruskan dan ESSCOM akan melipat gandakan usaha serta aktiviti keselamatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan ini selamat untuk semua,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah mengingatkan setiap aktiviti haram di kawasan ESSZONE seperti kegiatan Wali Tujuh tidak akan diambil mudah oleh ESSCOM.
Katanya, ESSCOM tidak akan membiarkan perkara seumpama ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap aktiviti haram di ESSZONE.
-Deasoka