
Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tumpuan kepada sekolah berskala enam dan tujuh sebagai keutamaan untuk tindakan penyelenggaraan segera.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, KPM mempunyai garis panduan iaitu satu hingga tujuh bagi melihat dan memberi keutamaan kepada mana-mana permohonan cadangan sekolah yang akan diselenggara.
Katanya, berdasarkan garis panduan itu, skala satu hingga empat merujuk kepada keadaan bangunan sekolah masih berfungsi dan selamat digunakan.
“Bagi skala lima adalah bangunan yang dilaporkan oleh pihak sekolah sebagai tidak selamat dan memerlukan penyelenggaraan manakala skala enam pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dan pengesahan daripada pihak teknikal Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri.
“Sementara itu, skala tujuh pula merujuk bangunan tidak selamat dengan pengesahan disyorkan roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Itulah garis panduan kita gunakan dan fokus KPM adalah skala enam dan tujuh ini dan inilah kita minta kepada Jabatan Pendidikan Negeri atau JKR negeri-negeri supaya menyediakan laporan lengkap dan mengangkat kepada KPM untuk kita senaraikan diberi keutamaan supaya kita laksanakan apa-apa penyelenggaraan yang bersesuaian dan diperlukan oleh mana-mana sekolah yang disebutkan dalam laporan itu,” katanya pada Persidangan Dewan Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum itu, Mohamad turut memaklumkan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 Rolling Plan Kedua Tahun 2022, sebanyak RM900 juta diperuntukkan kepada KPM untuk penyelenggaraan institusi pendidikan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM720 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan sekolah termasuk sekolah luar bandar dan pedalaman.
“Selain itu, KPM juga menyediakan peruntukan khusus sebanyak RM746 juta untuk menaik taraf dan membangunkan semula bangunan-bangunan daif sekolah di seluruh negara.
“Keutamaan akan diberikan kepada mana-mana sekolah yang mempunyai fasiliti yang rosak teruk dan tidak selamat sekiranya tidak diselenggara,” katanya.
-Deasoka