
Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau menyita sebuah bot kargo bersama muatan pelbagai barang kawalan di Kuala Sungai Tawau, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, sebanyak 23 tong gas petroleum cecair (LPG); 2,513 kilogram minyak masak; 2,160 kilogram tepung gandum; 1,680 kologram gula pasir serta barangan lain didapati tiada permit kebenaran membawa barangan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, bot kargo itu berjaya dikesan ketika sepasukan anggotanya menjalankan Ops Sejahtera/Ops Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) Selatan di kawasan berkenaan.
“Sebuah bot kargo dikesan bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik dan hasil pemeriksaan awal mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang tekong lelaki tempatan berusia 49 tahun bersama seorang penumpang lelaki tempatan berusia 46 tahun.

“Ketika pemeriksaan awal, tekong bot mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa dan menyatakan bahawa muatan itu adalah untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Siva Kumar berkata, hasil pemeriksaan lanjut pada dokumen mengesyaki tekong berkenaan mengemukakan permit barang yang meragukan.
“Nombor pendaftaran bot kargo yang didaftarkan di dalam permit tidak sama dengan bot kargo yang digunakan dan hasil penggeledahan menemui pelbagai jenis barang kawalan di dalamnya.
“Kedua-dua individu terbabit ditahan bersama bot dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan serta siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000,” katanya.
Terdahulu, Siva Kumar berkata, APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan perairan negara termasuk di pantai timur Sabah.
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain juga akan terus diperkukuhkan bagi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi,” katanya.
-Deasoka