Madius dakwa Maximus tidak faham definisi lompat parti

Madius dakwa Maximus tidak faham definisi lompat parti

Kota Kinabalu: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili tidak memahami konsep dan definisi lompat parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, definisi lompat parti yang diluluskan dalam Akta Lompat Parti di Dewan Rakyat ialah perbuatan seseorang wakil rakyat yang keluar atau bertukar parti dan bukannya tindakan suatu parti, keluar dari gabungan parti politik.

“Saya hairan, bagaimana Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebagai seorang menteri Kabinet tidak memahami konsep dan definisi lompat parti ini.

“Sedangkan beliau berada dalam kabinet persekutuan yang membincangkan dan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat parti, malah beliau juga turut hadir semasa Sesi Pembentangan di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, sehingga kini mereka masih berada dalam UPKO walaupun mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Saya dan rakan-rakan dalam UPKO tetap dan masih bersama UPKO dari dahulu hingga kini. Kita tidak pernah meninggalkan UPKO tetapi hanya keluar dari gabungan BN, iaitu suatu keputusan yang telah dibuat secara sebulat suara oleh Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UPKO.

“Harus diingat, bukan sahaja UPKO yang bertindak keluar BN, malah selepas beberapa minggu keputusan UPKO, PBS sendiri pun turut mengambil keputusan untuk keluar dan meninggalkan BN.

“Seterusnya, LDP, PBB, GERAKAN, PRS, SUPP, dan SPDP juga keluar dari BN. Kalau langkah UPKO itu dianggap lompat maka tindakan PBS keluar BN juga adalah perbuatan melompat. Kenapa Kami saja yang di buruk-burukkan?

“Lebih teruk lagi ialah parti-parti tersebut terlibat dalam pengkhianatan yang besar terhadap rakyat apabila menyertai pasukan kerajaan pintu belakang dalam langkah Sheraton. Bukankah dengan menerima jawatan menteri itu satu tindakan bersekongkol dan menghalalkan langkah Sheraton? Bukankah itu bermaksud bersetuju dengan perbuatan melompat parti,” katanya.

Tambah Madius lagi, seluruh negara mengetahui bahawa desakan terhadap penggubalan RUU Anti Lompat Parti adalah akibat daripada langkah Sheraton yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik negara.

“Justeru, saya ingin menasihatkan Maximus agar tidak terus menerus menjadi hipokrit dan berkali-kali membohongi rakyat kononnya beliau dan PBS tidak menyokong dan menghalalkan perbuatan lompat parti.

“Selain menghalalkan langkah Sheraton, PBS juga secara terang-terangan bersama-sama berkumpul di kediaman bekas Ketua Menteri Musa Aman, untuk meraikan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat dari kerajaan Warisan-PH-UPKO pada Julai 2020 sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada ketika itu.

Sehubungan itu, Madius berkata, UPKO berpegang pada prinsip menentang sekeras-kerasnya perbuatan melompat parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|