
Tawau: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas selepas lori tiga tan yang dipandunya terjunam ke gaung sedalam 50 meter dalam kejadian di Kilometer 54, Jalan Kalabakan-Sapulut, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, walaupun lori berkenaan remuk teruk, namun mangsa berusia 34 tahun hanya mengalami kecederaan di bahagian paha.

Mangsa juga bernasib baik apabila diselamatkan seorang anggota bomba yang sedang bercuti dan kebetulan melalui lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 petang.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian, mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba yang kebetulan sedang bercuti dan melalui kawasan berkenaan.
“Mangsa seterusnya dibawa ke hospital menggunakan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.42 petang.
-Deasoka