
Keningau: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang melaksanakan operasi mencari seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hilang selepas dipercayai keluar dari rumah, di Kampung Bukit Indah, di sini, hari ini.
Mangsa yang hilang kira-kira jam 1 petang itu, dilaporkan keluar dari rumahnya akibat masalah keluarga yang dihadapinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Mangsa adalah seorang lelaki OKU yang berusia 21 tahun dan mengalami masalah pertuturan dan pendengaran.
“Pasukan operasi yang memberi respon kepada panggilan berkenaan sudah tiba di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian sedang dilaksanakan dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka