
Tawau: Seorang lelaki ditemui maut selepas terkena renjatan di atas tiang elektrik dalam kejadian di Jalan Bunga Raya, berhampiran Taman Eastern, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 41 tahun ditemui orang ramai kira-kira jam 10.30 pagi sebelum melaporkan kejadian kepada pasukan bomba dan penyelamat untuk tindakan selanjutnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati tersangkut pada tiang eletrik dan pasukan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terus menjalankan operasi memutuskan bekalan elektrik.
“Pasukan bomba kemudiannya bertindak menurunkan mangsa menggunakan tangga dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.26 pagi.
-Deasoka