
Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat diharap tidak cuai sehingga menyebabkan negara terpaksa membayar tuntutan RM62.59 bilion kepada pewaris Sultan Sulu.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, wang itu jika diberikan kepada Sabah dapat membangun dan menjaga kedaulatan negeri ini.
Katanya, pihak berwajib di peringkat persekutuan wajar mengambil iktibar kehilangan Pulau Batu Puteh yang jaraknya cuma 7.5 batu dari Johor dan 25 batu dari Singapura.
“Jangan atas kecuaian oleh pihak-pihak yang berwajib di Putrajaya, rakyat negeri Sabah akan menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berita yang tersebar baru-baru ini berhubung laporan mengatakan Malaysia perlu membayar kepada waris Sultan Sulu sebanyak USD14.92 bilion atau RM62.59 bilion yang diputuskan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis.
Pandikar yang juga bekas Speaker Dewan Negara mendakwa sehingga tercetusnya isu tuntutan RM62.59 bilion itu belum ada tindakan tegas diambil daripada pihak berkaitan.
“Setahu kami rakyat Sabah yang merdeka sejak 1963 melalui Malaysia, soal tuntutan negara Filipina terhadap negeri Sabah yang disandarkan kepada kaitan sejarah Sultan Sulu dan penjajah dahulu, telah bertahun-tahun disedari oleh pihak-pihak yang berwajib di peringkat kerajaan Persekutuan.
“Namun sehingga isu pampasan lebih RM62 bilion ini tercetus, tidak ada tindakan tuntas dan tegas daripada mereka yang berwajib di peringkat kerajaan persekutuan untuk menangani isu tuntutan ini,” katanya.
Menurutnya lagi, majoriti rakyat negeri ini khuatir dan tertanya-tanya jika kerajaan Malaysia dapat mengatasi isu pampasan lebih RM62 bilion itu.
“Dalam erti kata lain, apakah negara Malaysia dari sudut perundangan mempunyai alasan untuk tidak dipaksa membayar pampasan berkenaan.
“Adalah suatu malapetaka yang besar yang akan menimpa rakyat negeri Sabah sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani.
“Dengan membayar lebih RM62 bilion kepada pewaris Sultan Sulu, adalah sama seperti negara Malaysia menjual hak-hak rakyat negeri Sabah kepada kuasa asing,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, USNO berpendirian bahawa lebih baik wang itu dihadiahkan kepada rakyat Sabah daripada membayar pewaris Sultan Sulu.
“Ini kerana rakyat Sabahlah yang lebih berhak untuk diberikan pampasan daripada mana-mana pihak termasuk pewaris Sultan Sulu.
“Dengan jumlah wang tersebut, rakyat Sabah akan dapat menggunakannya untuk membangunkan negeri ini di samping dapat menjaga dan mempertahankan kedaulatannya sebagai sebuah negara yang merdeka sejak tahun 1963,” katanya.
Sehubungan itu, Pandikar turut menyeru supaya semua pemimpin parti politik terutama di negeri ini memfokuskan pemikiran mereka dengan meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya.
Katanya, sudah tiba masanya pemimpin di negeri ini tanpa mengira ideologi parti, mengekang ego masing-masing, mengelakkan pergeseran pendapat antara satu sama lain yang tidak berkesudahan demi untuk kepentingan dan kemakmuran Sabah dan rakyatnya.
“Perebutan kedudukan dan kuasa akan menguntungkan pihak lain yang mempunyai agenda politik pecah dan perintah,” katanya.
Penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa baru-baru ini mengarahkan kerajaan Malaysia membayar RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu ketika perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis.
Ia sebagai bayaran berhubung tuntutan waris Sultan Sulu yang mendakwa Malaysia melanggar perjanjian dibuat di antara Sultan Sulu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent bagi pajakan sebahagian Borneo Utara (Sabah) pada 1878 apabila menghentikan bayaran serahan sejak 2013.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia seperti dinyatakan dalam kenyataan bersama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara kelmarin, menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dibuat di Sepanyol dan Perancis.
Malaysia juga menegaskan ia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat selain menyatakan perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara selain Perjanjian 1878 juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.
Kerajaan Malaysia juga menekankan bahawa identiti penuntut (waris Sultan Sulu) diragui dan belum disahkan.
-Deasoka