
Kota Kinabalu: Kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) masih seperti biasa dan dalam keadaan yang baik.
Demikian penjelasan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS mengenai hubungan di antara kedua-dua gabungan itu.
Ia susulan beberapa isu yang menimbulkan ketegangan di antara parti dalam GRS dan BN beberapa hari lalu, termasuk menjadi topik hangat pada Konvensyen BN Sabah semalam.
“Kita mesti bersatu hatilah dalam apa juga yang kita buat untuk negeri, kita kena bersatu hati. Jangan gaduh-gaduh.
“Kita kerajaan GRS dan BN tiada masalah. Kalau ada sedikit-sedikit perbezaan, itu biasa dalam politik.
“Jadi jangan bimbang. Jangan lagi kita simbah minyak di api, nanti marak,” katanya, ditemui media pada Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sabah di Teluk Likas, pagi tadi.
Berikutan itu, Hajiji mengingatkan semua pihak agar tidak menangguk di air keruh dengan melaga-lagakan pemimpin GRS dan BN.
Katanya, semua pemimpin negeri ini perlu mencontohi perpaduan kaum seperti ditunjukkan masyarakat Bajau, Cina dan Dusun dalam perlumbaan perahu naga yang disaksikannya itu.
“Inilah keunikannya negeri Sabah, kita mempunyai pelbagai suku kaum. Dalam pesta dan program seumpama ini semua dialu-alukan untuk menyertai.
“Jadi ini adalah sesuatu yang amat baik untuk negeri kita. Bukan orang nelayan sahaja yang duduk di tepi laut tetapi ada yang daripada persatuan yang bukan nelayan tapi mereka menyertai pertandingan ini,” katanya.
Semalam, pemimpin BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menempelak Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mengaitkan BN sebagai dalang masalah pendatang tanpa izin (PTI).
-Deasoka