
Kota Kinabalu: Orang ramai berpeluang untuk memenangi wang tunai sehingga RM1, 000 dengan menghasilkan video bagi pertandingan Tik Tok Budaya Rumpun Bajau Sama Sabah.
Pertandingan itu adalah sempena perasmian Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Persatuan Setiakawan Sabah (SETIAKAWAN) dan Majlis Belia Sabah (MBS) dengan kerjasama Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS).
Menurut pengarah program, Azrul Ibrahim, pertandingan buat julung kalinya itu bertujuan untuk memelihara dan memartabat budaya rumpun Bajau Sama agar terus berkembang sejajar dengan perkembangan globalisasi digital.
“Selain itu ia turut memberi peluang kepada warga Sabah untuk mencungkil bakat dan mengetengahkan kreativiti mereka dalam penghasilan video ringkas berkaitan kebudayaan rumpun Bajau Sama Sabah.
“Hadiah menarik menanti pemenang iaitu johan akan menerima RM1,000, naib johan sebanyak RM700 manakala tempat ketiga akan mendapat RM500. Hadiah sagu hati sebanyak RM200 turut disediakan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Katanya lagi, syarat pertandingan ialah video yang dihasilkan mesti bertemakan budaya Rumpun Bajau Sama Sabah.
“Sebagai contoh, bidang tarian, nyanyian, pakaian, makanan atau sejarah nama tempat dan sebagainya. Karya mestilah karya asli, tidak diciplak atau menggunakan karya orang lain dan berdurasi video satu minit.
“Terbuka kepada semua warga Sabah. Tidak menimbulkan unsur-unsur negatif dalam menghasilkan karya,” katanya.
Azrul berkata, mereka yang berminat boleh kongsikan hasil video di akaun Tik Tok peserta disertakan tanda pagar #RumpunBajauSama.
“Peserta juga diminta mengisi dan melengkapkan borang penyertaan (Google Form). Masukkan hasil video dalam google drive folder dan kongsikan link google drive dalam borang penyertaan yang disediakan bagi proses penilaian juri sebelum atau pada 20 Februari ini,” katanya.
Sebarang pertanyaan dan penyertaan boleh berhubung dengan Izan di talian 0168493209 atau Iskandar di talian 0128523411.
-Deasoka