
Keningau: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pemimpin Sabah tidak perlu terikut-ikut dengan cara berpolitik masa lalu dan situasi politik luar yang berbeza dengan pendekatan di negeri ini.
Sebaliknya, beliau berkata semua pemimpin dan parti politik di negeri ini perlu bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, sudah sampai masanya Sabah membuka lembaran baharu politik bagi mengelak pecah belah yang merugikan rakyat dan negeri seperti berlaku pada masa lalu.
“Inilah ujian utama kita pada PRU akan datang. Kita tahu di seberang sana politiknya macam mana tapi di Sabah, orang Sabah cukuplah, jangan kita ikut cara yang lalu dan di seberang sana.
“Bersatu hatilah kita, percayalah kalau bersatu hati, saya yakin kita boleh capai kejayaan cemerlang dalam PRU akan datang.
“Kalau kita kuat orang akan hormat kita, tapi kalau pecah belah..cukuplah kita berpecah sebelum ini. Kita buka lembaran baharu untuk Sabah, jangan lagi kata macam-macam hingga merosakkan politik kita. Bersatulah kita,” katanya pada Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, beliau mahu melihat semua pemimpin dan parti politik di Sabah bersatu melalui sebuah gabungan politik demi kepentingan negeri dan rakyat.
Katanya, atas sebab itu, beliau mempelawa ‘otai-otai’ politik Sabah untuk bergabung atau bekerjasama di bawah GRS yang kini menjadi sebuah parti gabungan politik rasmi di negeri ini.
Beliau berkata, pengalaman pemimpin yang sudah lama berkecimpung dalam politik Sabah amat berguna dalam memperkuat GRS dan mencapai teras perjuangannya yang berteraskan rakyat dan negeri.
“Bukan senang untuk menggabungkan (semua parti). Tugas saya berat, tidak pernah saya impikan menjadi ketua kerajaan. Kita sudah kalah kerana ada rakan lompat ke WARISAN walaupun kita dapat mandat rakyat ketika itu (2018).
“Kita fikir waktu itu politik ke arah yang tidak menentu kerana pelbagai keadaan atau perpecahan dalam kalangan parti di Sabah dan negara.
“Kerana itu, atas kesedaran untuk melihat pemimpin parti di Sabah supaya bersatu demi kepentingan Sabah dan rakyatnya, maka kita sanggup usaha lakukan yang terbaik.
“Kita minta bawa ‘otai-otai’ hebat yang dulu berselisih pendapat masing-masing. Saya cuba bawa pemimpin berpengalman ini bersatu dalam GRS,” katanya.
Jelasnya, itulah niatnya selaku Pengerusi GRS kerana melihat kepelbagaian pengalaman dimiliki pemimpin parti dalam menongkah arus politik Sabah yang dapat membantu ke arah yang lebih baik.
Katanya, keadaan politik lalu di Sabah perlu dijadikan pengajaran dalam mengukuhkan kedudukan politik negeri demi kepentingan rakyat dan negeri pada masa kini dan seterusnya.
“Kita pernah bertukar politik berkali-kali kerana mahu melihat Sabah bersatu dan maju tapi kita masih gagal lagi. Harapan saya inilah peluang kita yang sebaiknya, jajaran politik yang dapat menyatukan politik kita di Sabah,” katanya.
Hajiji turut menekankan kepentingan untuk bersatu di bawah GRS, khususnya bagi menghadapi PRU akan datang.
“Sebab itulah saya mengalukan-alukan secara terbuka parti yang mahu sertai GRS. Janganlah kita fikir yang bukan-bukan, cukuplah kita buat silap masa lalu.
“Jika kita berpecah, orang lain akan ambil kesempatan menyebabkan kita berundur ke belakang sedangkan kita kaya dengan sumber
“Kita tertinggal kerana pecah-belah. Saya harap dengan GRS ini kita bersatu majukan Sabah dan menghadapi PRU akan datang,” katanya.
-Deasoka