
Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) cuma platform untuk membentuk sebuah kerajaan, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pendaftaran GRS dilihat tidak akan mendatangkan sebarang kesan kepada kerajaan sedia ada.
“Saya melihat GRS ini sama ada didaftar atau tidak, dia tidak mendatangkan apa-apa impak kepada mana-mana pihak sebab GRS ini cuma platform sebuah kerajaan, iaitu diwujudkan GRS untuk bentuk kerajaan negeri Sabah.
“Bagaimanapun, perkara ini akan dibincang dengan pemimpin-pemimpin GRS, apa intipatinya dan bagaimana penyelarasan apabila didaftarkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Teknikal), di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu berkata, setakat ini belum ada apa-apa perbincangan dibuat mengenai cadangan untuk mendaftarkan GRS.
“Kita belum ada mesyuarat. Saya dengar dulu apa cadangannya,” katanya.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak mencadangkan supaya GRS didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti politik yang rasmi ntuk memperkasa ahli parti komponen dan hala tuju gabungan itu.
-Deasoka