
Kuala Lumpur: Pasukan Futsal Wanita Sabah berjaya memenangi tempat ketiga Kejohanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 yang diadakan di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam, di sini, semalam.
Kejohanan yang bermula sejak 8 Mac lalu itu berakhir dengan kejuaraan dimenangi pasukan Melaka dan naib juara pasukan Selangor MBSJ.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, kejayaan yang diperolehi itu cukup bermakna buat peminat di Sabah.
Katanya, beliau percaya kejayaan itu berjaya dicapai hasil usaha keras pihak pengurusan, jurulatih dan barisan pemain pasukan Sabah.
“Di kesempatan ini, selaku pengurus pasukan, saya mengucapkan terima kasih atas kepimpinan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin atas sokongannya kepada pasukan ini.
“Keprihatinan presiden yang terlibat secara ‘hands on’ dalam kejohanan ini membantu melonjakkan semangat para pemain untuk memenangi perlawanan terakhir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Jelani berkata, kejayaan yang menggembirakan itu ditambah lagi dengan makluman enam pemain Sabah yang terpilih menyertai kem latihan pasukan Malaysia untuk ke Kejohanan Sukan Sea Vietnam pada bulan Mei depan.
Katanya, enam pemain terpilih adalah Asma Junaidi, Masturah Majid, Ji Fedalliah Clarita, Sheriylynn Elly Pius dan Usliza Usman serta Haindee Mosroh.
Sementara itu, dalam kejohanan berkenaan, pemain pasukan Melaka, Intan Sarah Anisah dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.
Manakala pemain penyerang pasukan Selangor MBSJ, Fatin Shahida Azmi pula dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 17 gol.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Joehari Mohd Ayub bersama Exco FAM, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Malaysia.
-Deasoka