
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mengulangi pendiriannya tidak mengiktiraf sebarang tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, keputusan itu jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang sudah menyatakan persetujuan untuk membentuk Malaysia pada 1963 dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
“Rakyat negeri ini sudah membuat keputusan untuk bersama-sama membentuk sebuah negara Malaysia berdaulat yang diiktiraf oleh PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.
Pendirian itu turut disokong semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tampil menyatakan sokongan termasuk mencadangkan agar DUN Sabah membahaskan usul berhubung pendirian berkenaan.
Hajiji berkata, pendirian kerajaan negeri cukup jelas dan meminta agar ia tidak dipolitikkan sejajar kedudukan Sabah yang sama-sama membentuk negara Malaysia.
“Saya nampak tanpa prejudis semua di sini dan rakyat Sabah tegas bahawa kita tidak mengiktiraf sama sekali tuntutan ke atas Sabah,” katanya.
Tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dibawa ke mahkamah arbitrasi di Madrid, Sepanyol adalah antara isu panas yang dibangkitkan pada Persidangan DUN Sabah kali ini.
Dalam hal lain, Hajiji berkata Laporan Awal Banci Penduduk dan Perumahan Sabah 2020 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia Sabah menunjukkan populasi penduduk Sabah ketika ini ketika ini seramai 3,418,785 orang.
Daripada jumlah itu, katanya 810,443 atau 23.7 peratus adalah bukan warga negara manakala warga negara Malaysia di Sabah ialah 2,608,324.
Katanya, perangkaan itu menunjukkan jumlah warga asing khususnya dari Filipina tidak sampai sejuta orang seperti didakwa sebelum ini.
-Deasoka