DUN Sabah: Usaha iktiraf JKR Sabah sebagai agensi teknikal diputuskan Majlis Khas MA63

DUN Sabah: Usaha iktiraf JKR Sabah sebagai agensi teknikal diputuskan Majlis Khas MA63

Kota Kinabalu: Permohonan kerajaan Sabah dan Sarawak supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak diiktiraf sebagai agensi teknikal akan diputuskan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Limus Juri berkata, pihak JKR telah mengambil beberapa inisiatif dalam usaha untuk menjadikan jabatan tersebut diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal seperti yang dinyatakan dalam Arahan Perbendaharaan (AP) 182.1(a).

Katanya, isu itu berkaitan dengan penguatkuasaan AP 182 bagi projek-projek Kerajaan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Sebagai rekod, AP182 antara lain telah menggariskan tentang kebertanggungjawaban dan mandat kepada JKR Malaysia dan JPS selaku Jabatan Teknik Persekutuan bagi melaksanakan semua projek pembangunan fizikal yang dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan di negara ini.

“Ia melibatkan semua proses pelaksanaan projek; termasuklah perolehan, penentuan skop, kos projek dan lain-lain.

“Permohonan ini telah acap kali dibangkitkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak dalam forum Persekutuan-Negeri termasuk dalam Majlis Khas MA1963 bagi maksud cadangan meminda AP182 supaya dengan itu JKR negeri Sabah dan JKR negeri Sarawak dapat diiktiraf sebagai Jabatan Teknik Persekutuan sebagaimana JKR Malaysia dan JPS.

“Untuk makluman, permohonan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak supaya JKR negeri Sabah dan JKR negeri Sarawak diiktiraf sebagai Agensi Teknikal dijangka akan dibincangkan dan seterusnya diputuskan oleh Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah dan Primier Sarawak dalam masa yang terdekat,” katanya menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO – Kadamaian) pada Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Limus berkata, sejak isu itu dibangkitkan beberapa tahun lalu jabatan itu telah memberikan penjelasan dan justifikasi kepada pihak seperti Kementerian Kerja Raya dan juga Kementerian Kewangan berhubung kedudukan JKR Sabah dalam melaksanakan projek-projek biayaan kerajaan Persekutuan sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Selain itu, JKR Sabah juga secara tidak langsung telah terlibat dalam beberapa sesi perbincangan dalam jawatankuasa MA63 di peringkat negeri dan Persekutuan berhubung isu tersebut.

“Mutakhir ini, JKR Sabah telah menyediakan satu Kertas Kabinet berhubung Dasar Pelaksanaan Projek-Projek Pembangunan Fizikal Persekutuan Di Negeri Sabah mengenai pelaksanaan projek-projek,” katanya.

Sehubungan itu, Limus berharap permohonan itu diluluskan oleh Majlis Khas MA63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|