
Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menjalankan kempen kesedaran ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ bagi mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila menghulur wang kepada peminta sedekah.
Pembantu Menterinya, Flovia Ng, berkata kempen berkenaan dilaksanakan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sebagai antara usaha menangani peminta sedekah terutama yang membabitkan kanak-kanak di Sabah.
“Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat agar menderma mengikut saluran yang betul seperti di institusi kebajikan, pertubuhan sukarela kebajikan dan pertubuhan amal yang berdaftar.
“Orang awam juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 untuk melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya terdapat aktiviti mengemis di tempat mereka,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Yong Teck Lee (SAPP – Dilantik) mengenai usaha kementerian menangani masalah budak peminta sedekah di negeri ini.
Flovia berkata, JPKA juga menguatkuasakan Seksyen 2(b) Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] untuk mencegah perbuatan mengemis dan menjadi kutu rayau.
Menerusi usaha itu, katanya operasi menyelamat pengemis kanak-kanak dilakukan melalui tindakan bersepadu, berjadual dan ad-hoc dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, polis, hospital, RELA, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Mereka yang diselamatkan akan ditentukan statusnya dan diasingkan untuk tindakan selanjutnya. Kita hanya mengendalikan mereka yang berstatus warga negara Malaysia sahaja,” katanya.
Selain itu, katanya JPKA juga mengambil tindakan menyelamat kanak-kanak yang mengemis mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan) 2016.
Beliau berkata, jabatan berkenaan akan berusaha untuk mengesan ibu bapa, penjaga atau waris dan seterusnya memberi amaran serta nasihat sebelum menyerahkan kanak-kanak terbabit.
“Walaubagaimanapun, sekiranya ibu bapa, penjaga atau waris tidak dapat dikesan maka mereka ini akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak.
“Selain itu, kanak-kanak yang berstatus bukan warga negara yang diselamatkan ketika operasi pula, mereka akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen setelah selesai proses dokumentasi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
-Deasoka