DUN Sabah: Kembalikan Labuan kepada Sabah – Yong Teck Lee

DUN Sabah: Kembalikan Labuan kepada Sabah – Yong Teck Lee

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dicadang memulakan rundingan dengan kerajaan Pusat untuk mengambil semula Labuan daripada Wilayah Persekutuan bagi mengembalikan persempadanan asal Sabah pada 1963.

Cadangan itu dibahas bekas Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Yong Teck Lee (SAPP) pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, pengembalian Labuan kepada Sabah perlu selepas penyerahan pulau itu pada 1984 sebagai Wilayah Persekutuan kedua selepas Kuala Lumpur gagal mencapai matlamat yang digariskan melalui persetujuan kerajaan Sabah ketika itu.

“Ada lima matlamat penyerahan Labuan kepada persekutuan, iaitu untuk integrasi, keselamatan, mempercepatkan pembangunan, sebagai pusat persidangan antarabangsa dan pusat perniagaan, semua gagal.

“Nanti, kalau jambatan Labuan-Sabah menjadi kenyataan, kita juga perlu melalui pos Imigresen untuk melalui jambatan itu ke Labuan, jadi ada baiknya Labuan dikembalikan kepada Sabah supaya jadi macam dulu,” katanya.

Teck Lee berkata, penyerahan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan berlaku selepas DUN Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri pada 8 Mac 1984.

Katanya, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh adalah individu yang bertanggungjawab merealisasikan penyerahan Labuan melalui siri perbincangan dengan kerajaan Pusat pada masa itu.

“Tan Sri Harris dulu adalah orang yang mahu Labuan diserahkan kepada persekutuan tetapi sekarang dia juga mahu Labuan dikembalikan kepada Sabah.

“Saya tahu kerajaan Persekutuan tidak terus bersetuju kalau kita tuntut Labuan dikembalikan kepada Sabah sekarang tetapi kita boleh buka jalan. Tuntutan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga selepas 12 tahun barulah diberi perhatian,” katanya.

Sehubungan itu, Teck Lee meminta supaya cadangan berkenaan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan negeri yang ada sekarang supaya boleh dijadikan legasi kepada generasi Sabah akan datang.

Selain itu, Teck Lee turut menyuarakan cadangan agar kerajaan negeri menggubal enakmen Kad Pengenalan Sabah (Sabah IC) untuk membenarkan penggunaan dokumen pengenalan khas rakyat yang lahir atau berasal dari Sabah.

Katanya, dokumen itu bagi membezakan pemegang Mykad dari negeri lain yang dikeluarkan kerajaan Pusat ketika ini, selain memberi kelebihan kepada pemegangnya untuk menikmati semua keistimewaan sebagai rakyat negeri ini.

“Kita sudah kaji ini dan ia tidak bercanggah dengan perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Teck Lee turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya meminta kerajaan Pusat membenarkan laporan siasatan nahas kapal terbang Nomad yang mengorbankan ramai anggota Kabinet Sabah pada 6 Jun 1976 yang kini disimpan di arkib Australia supaya didedahkan kepada umum.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|