Dakwaan pekerja SFI dihalau palsu, tidak berasas – JTU

Dakwaan pekerja SFI dihalau palsu, tidak berasas – JTU

Kota Kinabalu: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) hari ini menafikan dakwaan kononnya pekerja Sabah Forest Industry (SFI) di Sipitang dihalau berikutan pengambilan semula tanah syarikat berkenaan oleh kerajaan negeri.

Menerusi satu kenyataan, JTU menegaskan laporan mengenai dakwaan itu adalah palsu dan tidak mempunyai asas langsung.

Sebaliknya, menurut kenyataan itu, pekerja SFI dan staf am yang masih tinggal di dalam premis syarikat berkenaan boleh kekal tinggal di sana, selain akan diserap semula sebagai pekerja jika mereka inginkan.

Penyerapan itu katanya akan dibuat di bawah skim kerajaan negeri untuk pembangunan hutan balak yang mapan selaras dengan tujuan pengambilan tanah terbabit bagi maksud Seksyen 2 Ordinan Pengambilan Tanah.

“Pada masa yang sama, isu mengenai gaji tertunggak juga akan ditangani dan diselesaikan dengan adil dan saksama dengan cara yang akan mencerminkan kemahiran pekerja-pekerja SFI yang berharga dan sumbangan mereka kepada ekonomi negeri,” kata kenyataan itu.

Katanya, susulan pengambilan semula tanah oleh kerajaan negeri yang sebelum ini diberikan kepada SFI, prosedur piawai bagi kerajaan negeri adalah untuk memberikan notis kerajaan kepada SFI mengenai pengambilan semula berkenaan dan seterusnya memiliki dan mengawal tanah-tanah terbabit.

Jelas kenyataan itu, setelah penerbitan kedua Gazet di bawah Seksyen 3 Ordinan Pengambilan Tanah, Bab 69, pemilik tanah yang terlibat atau pihak yang berkepentingan dimaklumkan dan diberikan notis mengenai pengambilan tanah terbabit.

“Struktur-struktur dan bangunan dalam tanah tersebut bebas daripada sebarang bebanan diberikan hak kepada kerajaan dan akan dianggap telah diserahkan oleh pemilik sah atau pihak berkepentingan.

“Oleh itu, pemilikan kosong dianggap telah diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|