
Semporna: Taktik menggunakan bot laju untuk menyeludup barang kawalan ke negara jiran gagal memperdayakan pihak berkuasa apabila sebuah bot membawa muatan minyak masak bersubsidi ditahan, hari ini.
Kegiatan penyeludupan berkenaan berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam operasi di sekitar Laut Sibangkat, di sini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pasukan operasi yang melakukan tinjauan di lokasi berjaya mengesan pergerakan dan menahan bot berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot laju berkenaan membawa muatan beberapa minyak masak yang disyaki cuba diseludup ke negara Filipina.
“Semua minyak berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM16,785 berdasarkan harga pasaran semasa,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.
-Deasoka