Covid-19 Sabah: Kes turun ke tiga angka hari ini

Covid-19 Sabah: Kes turun ke tiga angka hari ini

Kota Kinabalu: Sabah mencatat jangkitan baharu Covid-19 di bawah 1,000 kes dengan hanya 796 kes hari ini, yang pertama selepas lebih sebulan mencatat kes empat angka setiap hari.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah baharu itu membabitkan penurunan sebanyak 380 kes berbanding 1,176 kes semalam.

Katanya, kali terakhir Sabah mencatat kes di bawah 1,000 kes ialah pada 4 Februari lalu.

“Sebanyak 15 daerah mencatat penurunan hari ini dengan beberapa daerah merekodkan angka penurunan yang banyak.

“Antaranya ialah Kota Kinabalu (-179 kes), Penampang (-78 kes), Tenom (-25 kes) dan Tuaran (-24 kes).

“Hanya lapan daerah mencatatkan peningkatan kes dan empat daerah kekal sebagaimana catatan semalam,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Secara keseluruhan, Masidi berkata hanya dua daerah mencatat kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu dengan 177 kes dan Tuaran sebanyak 102 kes.

Katanya, 15 daerah lagi mencatat kes dua angka, manakala 10 daerah mencatat kes satu angka.

“Walaupun jumlah daerah yang mencatat kes tiga dan dua angka berkurangan serta angka jangkitan yang lebih rendah di kebanyakan daerah tetapi perlu ambil perhatian bahawa peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi iaitu hampir 65 peratus.

“Sebanyak 779 atau 97.86 peratus daripada 796 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti tiga kes dalam Kategori 3, manakala 10 kes dalam Kategori 4 dan empat kes lagi dalam Kategori 5,” katanya.

Sementara itu, katanya sebanyak tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini dengan dua daripadanya melibatkan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Taman Beringin, Kota Marudu dan Kluster Madai Dua, Kunak, manakala satu kluster lagi berkaitan komuniti iaitu Kluster Kampung Weston, Beaufort.

Ia menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di Sabah ketika ini berbaki sebanyak 26 kluster.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 12 Mac 2022
Sabah 796 (1,176)

Kota Kinabalu 177 (356)
Papar 102 (105)
Penampang 61 (139)
Tuaran 57 (81)
Beaufort 45 (28)
Sandakan 39 (29)
Tawau 38 (49)
Tambunan 28 (35)
Putatan 27 (34)
Kuala Penyu 26 (21)
Keningau 26 (26)
Kota Marudu 24 (22)
Sipitang 23 (35)
Lahad Datu 19 (34)
Kudat 19 (14)
Kota Belud 19 (32)
Ranau 12 (31)
Tenom 9 (34)
Kinabatangan 8 (8)
Nabawan 8 (5)
Pitas 7 (19)
Beluran 6 (15)
Telupid 5 (16)
Kalabakan 5 (3)
Tongod 3 (2)
Kunak 2 (2)
Semporna 1 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 11 Mac 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|