
Kudat: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) tekong yang dikhuatiri hilang selepas bot lantingan dinaiki karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi, Isnin lalu, diperluaskan sehingga 65 batu nautika persegi, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, operasi CARILAMAT memasuki hari ketiga hari ini dilaksanakan kira-kira jam 7 pagi tadi.

Katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian diteruskan di lapangan.
“Aset yang terbabit dalam pencarian membabitkan bot Halilintar 2 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Selain itu, turut serta dalam operasi pencarian iaitu Pasukan Polis Marin (PPM) menggunakan Bot Ronda Rh 49 dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kapal Diraja (KD) Sri Gaya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kawasan pencarian Operasi CARILAMAT dibahagikan kepada tiga sektor dengan keluasan 65 batu nautika persegi.
“Perkembangan operasi CARILAMAT akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, Maritim Malaysia mengaktifkan operasi CARILAMAT selepas menerima aduan mengenai tekong bot lantingan Rijal Idris, 45, yang gagal dihubungi sejak jam 5 pagi, Isnin lalu.
Bot mangsa ditemui karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi oleh nelayan tempatan kira-kira jam 9 pagi dan operasi CARILAMAT kemudian diaktifkan jam 1.45 petang di lokasi terakhir mangsa di sekitar Utara Pulau Malawali.
-Deasoka