
Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengulangi pendirian untuk menyokong usaha mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan politik rasmi.
Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, ia adalah demi kestabilan politik dan kemakmuran di Sabah.

“Ini bukan hal daripada BN, GRS adalah satu komponen yang lain, UMNO ini dia dalam komponen BN. Jadi ada dua komponen di sini.
“InsyaAllah, UMNO dan BN akan mendukung demi kestabilan politik di Sabah dan kemakmuran di Sabah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Digital Internet Kebendaan (IoT) Sandbox di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan perbincangan BN Sabah berhubung usaha untuk mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi.
Ditanya lebih lanjut, beliau berkata, keputusan akan dibuat dalam mesyuarat mengenainya.
“Tunggu dalam keputusan mesyuarat,” katanya.
Sementara itu, ditanya pendirian BN Sabah berhubung hasrat parti baharu yang mahu menyertai GRS baru-baru ini, Yakub berkata, ia harus diputuskan melalui perbincangan dalam mesyuarat.
“Di Sabah ini, kita ada kerjasama antara parti-parti komponen dalam GRS bersama BN, jadi kita gunakanlah meja mesyuarat untuk memutuskannya.
“Biarlah pemimpin-pemimpin parti utama kita ini berbincang sama ada menerima atau tidak, terpulang dalam mesyuarat,” katanya.
Diminta mengulas lanjut, bila mesyuarat atau perbincangan akan dibuat, beliau berkata, ia akan dimaklumkan nanti.
Bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony baru-baru ini mengumumkan parti baharunya yang dikenali sebagai Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sudah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Beliau yang juga presiden protem parti itu menyatakan hasrat untuk parti baharunya menyertai GRS.
-Deasoka