9 pensyarah UMS antara 2 peratus saintis terbaik dunia 2022

9 pensyarah UMS antara 2 peratus saintis terbaik dunia 2022

Kota Kinabalu: Sembilan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) disenaraikan antara dua peratus saintis terbaik dunia dalam senarai penyelidik cemerlang pelbagai bidang dan disiplin.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ia adalah berdasarkan analisis yang dikeluarkan oleh penyelidik dari Universiti Stanford berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Pencapaian ini mampu mengeratkan lagi interaksi antara penyelidik tempatan dan antarabangsa bersama industri untuk terus meningkatkan kecemerlangan akademik.

“Ia selain mewujudkan peluang penyelidikan untuk menyelesaikan masalah tempatan dan global,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sembilan ahli akademik itu disenaraikan di bawah kategori pencapaian tunggal tahun 2022 dan pengiktirafan ini adalah berdasarkan kepada beberapa indeks kecermerlangan penyelidikan.

Antara Pensyarah UMS yang dipetik dalam pengiktirafan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly (Fakulti Kejuruteraan), Profesor Dr. Jason Teo Tze Wi (Fakulti Komputeran dan Informatik), Profesor Dr. Abdullah bin Gani (Fakulti Komputeran dan Informatik), Profesor Ts. Dr. Zainal Amiruddin bin Zakaria (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan), Profesor Dr. Duduku Karishnaiah (Fakulti Kejuruteraan), Profesor Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee (Institut Penyelidikan Bioteknologi), Profesor Madya Dr. Nurul Huda (Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan), Profesor Madya Dr. Pasupuleti Visweswara Rao (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan), Dr. Teo Siow Hwa (Fakulti Sains dan Sumber Alam).

Dalam pada itu, Kasim berkata, pencapaian baru-baru ini adalah selaras dengan Pelan Strategik UMS 2018-2022 untuk meletakkan universiti di landasan yang betul untuk mencapai keunggulan global dalam kedua-dua penyelidikan dan akademik.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pensyarah-pensyarah UMS yang telah banyak berusaha untuk mencapai pelbagai kejayaan dan menaikkan imej universiti di persada global.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|