
Kota Kinabalu: Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) setakat ini sudah membantu seramai 4,332 individu yang memerlukan bantuan di negeri ini sejak yayasan itu diwujudkan pada September tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata YKS diwujudkan berikutan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat terjejas dan memerlukan bantuan.

Katanya, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) mewujudkan YKS untuk menggerakkan kebajikan rakyat dan mahu yayasan itu diurus secara telus selaras dengan peraturan tadbir urus yayasan.
“Penerima bantuan YKS termasuk mangsa bencana alam, keluarga dan kanak-kanak sekolah,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Amanah YKS di Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Hajiji berkata, bantuan juga disediakan untuk kes kecemasan yang tidak dikendalikan oleh pertubuhan bantuan lain termasuk agensi kerajaan.
Pada mesyuarat berkenaan, Hajiji diberi taklimat oleh Pengarah YKS, Rugayah Awang Besar mengenai aktiviti yayasan dan perancangan YKS termasuk mewujudkan Teratak Prihatin YKS iaitu rumah atau asrama untuk individu memerlukan yang datang dari daerah yang jauh apabila melawat ahli keluarga yang ditahan di hospital, di sini.
Rumah berkenaan yang kini sudah kira-kira 75 peratus siap boleh menampung seramai 20 orang pada satu masa.
Hajiji kemudiannya menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM40,000 daripada Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Kementerian Kewangan (KHKS) kepada YKS.
Sumbangan itu diserahkan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Sofian Nair kepada Rugayah.
-Deasoka