Semporna: Sebanyak 10 blok rumah kongsi di penempatan sementara Kampung Bangau-Bangau, di sini, terbakar, malam tadi.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 11 malam itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 100 rumah musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 malam.
Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran 10 blok rumah kongsi penempatan sementara jenis tidak kekal itu dibina oleh pihak kerajaan untuk mangsa kebakaran rumah atas air Kampung Bangau -Bangau yang terbakar pada 2017.
“Anggaran keseluruhan kawasan 6,070 meter persegi itu terbakar 100 peratus dan pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 152 meter dengan dua pancutan dari sumber air pili bomba berdekatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam insiden itu dan api kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.46 tengah malam.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.05 pagi.
“Pasukan bomba juga akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah kerugian dalam insiden kali ini.
-Deasoka